Sunday, March 20, 2005

 

Jakim diarah senarai produk melalui media, laman web

Berita Minggu - Berita Nasional -
PERMAISURI: Kerajaan mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya menyebar luas senarai produk halal melalui pelbagai saluran termasuk media dan laman web agensi itu bagi membolehkan pengguna mendapat maklumat tepat mengenai status halal sesuatu produk di pasaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustafa Abdul Rahman mengenai kesesuaian menggunakan saluran media bagi memaparkan senarai lengkap produk menggunakan logo halal yang sah.

Beliau mengakui walaupun Jakim melalui Bahagian Halal mempunyai senarai produk halal, senarai itu tidak di sebar luaskan kepada pengguna.

Katanya, langkah menyebar dengan lebih meluas senarai produk halal adalah antara langkah yang sedang diberi perhatian oleh Jakim.

Senarai itu, katanya bukan hanya terhad kepada produk halal malah turut menyenaraikan pusat pelancongan seperti hotel dan resort yang mempunyai dapur halal.

"Saya akan cuba memberikan arahan supaya senarai produk halal disebar luas kepada pengguna," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Islam Hadhari peringkat bahagian Setiu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ibrahim, Kampung Buloh, dekat sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee yang juga Ahli Dewan Undangan negeri Permaisuri dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari, Wan Mohd Wan Hassan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu dua kilang memproses sosej di Selayang yang didapati menggunakan usus babi sebagai sarung bahan makanan.

Isnin lalu, dua kilang terbabit diserbu dan diarah ditutup selama dua minggu berkuat kuasa serta merta. Sebuah kilang terletak di Kompleks Selayang manakala satu lagi berhampiran Pasar Borong Selayang.

Abdullah berkata kepimpinan kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memandang serius isu terbabit kerana Malaysia berhasrat untuk muncul sebagai halal hub yang diperakui dan dikagumi di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata Perdana Menteri meminta Jakim membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang diberi kuasa menjalankan tugas penguatkuasaan.

Katanya, Jakim akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada KPDNHEP dan membantu dari segi piawaian halal haram.

Ditanya mengenai cadangan supaya Akta Produk Halal digubal dengan segera, Abdullah berkata ia di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi