Wednesday, March 09, 2005

 

HARIAN METRO Edisi KL: Kilang roti perlekeh logo halal

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

PUCHONG: Sebuah kilang roti di sini dikesan mengeluarkan roti burger dan hotdog dengan menggunakan logo halal tertera nama Jabatan Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri bagi edaran pasaran tempatan.

Kilang terbabit tidak pernah diberikan sijil halal apatah lagi menggunakan logo yang tidak digunakan lagi.

Jurucakap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, kilang di kawasan perindustrian Kinrara itu tidak pernah memohon perakuan sijil dan logo halal dari Jakim sejak beroperasi lebih empat tahun lalu.

Menurutnya, pemilik kilang terbabit dikatakan diberi kontrak oleh sebuah syarikat pemprosesan makanan Bumiputera untuk menghasilkan roti burger dan hotdog.

“Tindakan ini amat memeranjatkan kerana pemilik kilang roti terbabit tidak pernah diberi sijil halal selain melanggar beberapa syarat pengilangan antaranya beroperasi dalam keadaan premis yang kotor.

“Ini boleh dianggap sebagai penipuan kepada pengguna Islam yang sebelum ini menyangka roti terbabit dikeluarkan sendiri oleh kilang Bumiputera berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi jam 11 pagi semalam, pemilik kilang itu turut didapati sengaja melekatkan tarikh luput roti burger pada logo halal supaya sukar dilihat.

“Selain itu, pihak KPDNHEP dan MPSJ tidak berpuas hati dengan kaedah pengendalian pemprosesan roti burger dilakukan lebih lapan warga asing.

“Kebanyakan mereka hanya memakai selipar, tidak menutup mulut dan rambut selain tidak dilengkapi dengan sarung tangan,” katanya.

Menurutnya, pekerja warga asing berkenaan seolah-olah tidak diarahkan menitik-beratkan soal kebersihan ketika menguli bahan mentah, termasuk sewaktu tugas pembungkusan.

“Malah kini dapati tepung gandum dan bahan mentah lain dibiarkan terdedah di atas lantai dengan hanya ditutup dengan plastik,” katanya.

Operasi berkenaan yang turut disertai Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), pihak penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan pegawai Jabatan Kesihatan turut menyoal pemilik kilang itu yang berusia sekitar 50-an berhubung dokumen perjanjian pengeluaran roti burger dengan syarikat Bumiputera itu.

Bagaimanapun, dia menyatakan kerjasama perniagaan menghasilkan roti burger hanya dilakukan secara lisan.

Harian Metro yang mengikuti pemeriksaan itu bagaimanapun terkejut apabila pemilik kilang itu mempersoalkan kepentingan logo halal Jakim yang didakwa tidak penting dan dipandang remeh oleh pengguna.

Malah, dia mendakwa tindakan kerajaan mengawal ketat logo halal boleh jejas perniagaan serta menyusahkan peniaga.

Bagaimanapun, pegawai Jakim dan KPDNHEP bijak mengawal keadaan dengan mencadangkan supaya lelaki itu tidak lagi sewenang-wenang memakai logo halal pada bungkusan produknya lagi.

“Dia hanya perlu mencabut logo itu atau tidak lagi menggunakannya supaya pengguna Islam tidak tertipu,” katanya.

Menurutnya, Jakim akan membuat siasatan susulan terhadap syarikat Bumiputera terbabit yang bekerjasama dengan kilang itu.

Dalam kenyataan sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Pemantauan dan Penguatkuasaan Jakim, Azizian Hamid, menganggap tindakan segelintir pengilang boleh mengelirukan pengguna Islam.

Menurutnya, kes membabitkan salah guna logo halal didapati kian serius

berikutan kebanyakan kilang makanan milik bukan Bumiputera sewenang-wenang menampal logo halal pada produk dijual.

“Siasatan mendapati kebanyakan penyelewengan logo halal ini dilaporkan

dilakukan pengusaha produk makanan di Lembah Klang. Bagaimanapun pegawai penguat kuasa Jakim sentiasa memantau perkara ini dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap peniaga ingkar.

“Sehingga kini, 47 syarikat sudah diheret ke mahkamah atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun lalu,” katanya.

Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi