Sunday, March 20, 2005

 

‘Halal hub’ boleh terjejas: Penyediaan sosej daripada usus babi

Berita Minggu - Mukadepan -



ABDULLAH Sani (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Syed Hamid
selepas perasmian persidangan Umno Cawangan Taman Marisa di
Taiping, semalam. – Gambar oleh Ikhwan Munir

TAIPING: Pendedahan penggunaan usus babi dalam penyediaan sosej yang menjadi isu hangat ketika ini boleh menjejaskan imej Malaysia sebagai ‘halal hub’ di kalangan negara Islam, kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) segera mewujudkan satu mekanisma pengesahan halal yang seragam bagi membanteras masalah penipuan sijil serta logo halal.

Beliau berkata negara Islam seperti Arab Saudi dan umat Islam di seluruh dunia memandang tinggi logo serta sijil pengesahan halal yang dikeluarkan Malaysia kerana yakin dengan proses penghasilan makanan oleh negara ini.

"Adalah penting untuk kita mengambil langkah segera mengakhirkan isu ini dengan mewujudkan satu sistem atau mekanisma pengesahan halal yang selaras dan kukuh yang mempunyai pelekat khas.

"Kita tidak mahu ada pihak tidak bertanggungjawab meniru atau memalsukan pelekat dan logo yang dihasilkan kerana ini membabitkan reputasi negara yang sudah pun dikenali sebagai pusat penyediaan makanan halal (halal hub) selain melonggarkan keyakinan rakyat Malaysia sendiri.

"Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga mementingkan pengesahan halal oleh negara kita dan di sinilah kredibiliti negara kita," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata demikian selepas menyam-

DARI MUKA 1

paikan ucaptama mengenai dasar luar negara Malaysia di era globalisasi pada majlis perasmian persidangan Umno Cawangan 2005 di Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) di sini, semalam.

Majlis itu anjuran Umno bahagian Taiping dan Umno cawangan Taman Marisa.

Turut hadir Abdullah Sani Mohd Hashim yang mewakili Ketua Umno cawangan Taman Marisa, Datuk Abdullah Hishan Mohd Hashim.

Pada 15 Mac lalu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan kegiatan sebuah kilang memproses daging sosej yang menggunakan usus haiwan disyaki babi sebagai sarung sosej.

Kilang berkenaan turut didapati menggunakan logo halal palsu pelbagai jabatan agama pada bungkusan produknya. Produk berkenaan diedarkan secara meluas ke beberapa pusat beli-belah terkemuka tanpa disedari pengguna Islam.

Berikutan itu, kelmarin Kabinet mengarahkan KPDNHEP mengambil semula tugas menguatkuasakan peraturan berkaitan logo halal, manakala Jakim bertanggungjawab mengeluarkan sijil halal.

Kerajaan juga meminta kedua-dua pihak mengenal pasti kaedah 'kebal' yang mampu mengelak logo halal diseleweng sehingga makanan tidak halal dijual kepada pengguna Islam.

Syed Hamid berkata, langkah itu juga penting bagi mengelak negara Islam lain mula was-was dan mempersoalkan makanan mempunyai pengesahan halal yang dihasilkan oleh Malaysia.

Katanya, pihak berkuasa seperti Jakim dan KPDNHEP menerusi mekanisma yang diwujudkan itu boleh bertindak lebih pantas dan tegas apabila menjalankan pemantauan serta mampu mengawal keadaan dengan lebih mudah.

"Ini mampu mengelak penipuan dalam penggunaan logo dan sijil pengesahan halal. Harap kedua-dua pihak ini menghasilkan satu mekanisma pensijilan pengesahan halal dengan pelekat untuk kegunaan dalam dan luar negara," katanya.

Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi