Tuesday, October 05, 2004
UM: Strategi bina perpaduan kaum perlu diperhalusi semula - PM
PUTRAJAYA 4 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bimbang dengan beberapa persoalan baru mengenai isu hubungan antara kaum berpendapat, sudah tiba masanya strategi dan pendekatan untuk membina perpaduan, diperhalusi semula.
Perdana Menteri menjelaskan, langkah itu perlu supaya strategi dan pendekatan tersebut mengambil kira realiti baru masyarakat Malaysia masa kini.
Abdullah membangkitkan kebimbangan beliau apabila sekolah kebangsaan iaitu ejen utama yang sepatutnya memangkinkan proses integrasi di kalangan generasi muda mula kehilangan populariti sebagai sekolah pilihan terutamanya di kalangan pelajar Cina.
Beliau menarik perhatian, kini hanya kira-kira dua peratus sahaja pelajar Cina menuntut di sekolah kebangsaan.
Di peringkat universiti pula, beliau difahamkan siswa-siswi masih tidak begitu selesa bergaul dengan mereka dari keturunan lain.
``Aliran sebegini memberi gambaran bahawa perpaduan kaum di Malaysia adalah satu proses yang tidak ada hentinya dan perlu terus ditingkatkan.
``Jika kita tidak berwaspada dan mengambil beberapa langkah proaktif sekarang, perpaduan yang dibina dengan begitu susah lama-kelamaan mungkin susut dan kemudian lenyap begitu sahaja,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sijil pelantikan anggota Panel Penasihat Perpaduan Negara dan merasmikan mesyuarat pertamanya di sini, hari ini.
Perdana Menteri mengalu-alukan penyusunan semula dan pengaktifan kembali panel itu kerana percaya ia yang terdiri daripada pegawai kerajaan, ahli politik berpengalaman, cendekiawan dan wakil pertubuhan pelajar serta badan bukan kerajaan, mampu membawa perbincangan mengenai isu perpaduan ke tahap lebih tinggi.
``Walaupun perpaduan masyarakat boleh dikatakan kukuh, namun terdapat pelbagai cabaran baru yang sedang dihadapi akibat perubahan yang dibawa oleh proses globalisasi dan arus pemodenan di negara ini.
``Umpamanya proses migrasi dari desa ke bandar secara besar-besaran dan proses penyesuaian diri kepada cara kerja dan cara hidup moden, sedikit sebanyak mengakibatkan institusi keluarga dan semangat kejiranan menjadi semakin rapuh,'' katanya.
Sehubungan itu, Abdullah berharap mereka yang menganggotai Panel Penasihat Perpaduan Negara akan menggunakan sepenuhnya ruang yang diberi untuk membincangkan isu dan masalah secara jujur.
Pada akhir proses, beliau berharap satu rangka panduan dapat dihasilkan bagi melaksanakan strategi serta program bagi membantu kerajaan meningkatkan perpaduan dan integrasi nasional.
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2004&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_06.htm