Tuesday, October 05, 2004

 

UM muka depan

EPU diarah sedia laporan kesan harga minyak naik

Oleh: MARHAINI KAMARUDDIN dan NOR AZIAH JAAFAR

PUTRAJAYA 4 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) menyedia dan mengemukakan laporan kesan kenaikan harga minyak terhadap semua sektor di Malaysia sebelum mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

Perdana Menteri berkata, beliau perlu mendapatkan maklumat terperinci mengenai impak kenaikan sebanyak lima sen yang diumumkan kerajaan baru-baru ini sebelum membincangkannya dengan Jemaah Menteri.

Pada masa yang sama, beliau memberi peringatan keras kepada semua peniaga termasuk pengusaha pengangkutan supaya tidak menaikkan harga barangan dan tambang sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kepentingan rakyat.

``Sebelum bertindak menaikkan harga, kajilah dulu... jangan hanya sebab harga minyak naik maka tambang perlu naik. Mereka sepatutnya memikirkan kepentingan rakyat.

``Saya telah minta maklumat terperinci mengenai perkara ini. Katakan untuk satu liter kenaikannya lima sen, oleh itu berapa liter diperlukan untuk menggerakkan bas mereka.

``Kalau setiap penumpang yang mereka ambil itu dinaikkan tambang, mungkin pendapatan daripada kenaikan tambang melebihi daripada belanja akibat kenaikan lima sen... akhirnya bukan mereka rugi, malah tambah untung lagi,'' katanya.

Dalam hal ini, Abdullah berkata, langkah menaikkan harga barangan dan tambang bukan pendekatan yang perlu diambil sebaliknya tindakan yang sebaik-baiknya ialah jika para peniaga dapat menyerap kenaikan tersebut.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil pelantikan Panel Penasihat Perpaduan Negara dan merasmikan mesyuarat pertamanya di sini, hari ini.

Kenaikan harga minyak sebanyak lima sen mulai Jumaat lepas menyebabkan banyak pihak membuat tuntutan melampau sehingga Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendesak kerajaan mengawal `pesta naik harga' itu.

Abdullah memberi contoh Penerbangan Malaysia (MAS) yang tidak menaikkan tambang walaupun berhadapan dengan kenaikan harga minyak padahal syarikat tersebut terpaksa menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat untuk membeli bahan api tersebut di luar negara.

Katanya, ini membuktikan kenaikan harga petrol bukan satu masalah kepada MAS kerana mereka dapat menyerap kenaikan harga tersebut.

``Ini merupakan pendekatan yang baik kerana mungkin mereka mengambil kira kebajikan penumpang,'' katanya.

Menurut Abdullah, kerajaan bukannya suka melaksanakan cukai, namun perkara tersebut terpaksa dilakukan berikutan kenaikan tinggi harga minyak mentah di pasaran dunia.

Katanya, selama ini kerajaan memberi subsidi yang tinggi menyebabkan harga minyak di negara ini rendah jika dibandingkan negara lain.

``Mereka (peniaga) sebenarnya telah menikmati kemudahan ini begitu lama, tetapi kerana kenaikan harga minyak yang begitu tinggi, kita perlu beri perhatian kepada perkara ini.

``Jika tidak, disebabkan subsidi yang begitu tinggi akan bawa kemudaratan kepada pertumbuhan ekonomi,'' ujarnya.

Menurut Abdullah, jika ekonomi negara terjejas, ia akan membawa masalah kepada semua pihak termasuk mereka yang menggerakkan perkhidmatan bas.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2004&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm



Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi