Tuesday, October 05, 2004

 

UM: Adnan mahu laporan lengkap

KUANTAN 4 Okt. - Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob mengarahkan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Sarah Yaacob menyediakan laporan lengkap berhubung kematian Arni Syuhada Salleh yang dipatuk ular tedung dan didakwa oleh ahli keluarganya dibiarkan selama 1 jam 45 minit tanpa perhatian doktor di Hospital Daerah Pekan.

Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan tersebut daripada Pengarah Kesihatan Negeri sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

``Kita tak tahu pertolongan cemas yang diberikan kepada Allahyarham pada peringkat awal. Saya difahamkan air telah dimasukkan ke dalam badannya,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Menurut Adnan, beliau juga mahukan penjelasan lengkap mengenai prosedur rawatan yang perlu dilalui oleh mangsa patukan ular daripada pihak hospital.

``Mereka (hospital) mesti beri penjelasan apa prosedur rawatan untuk orang yang dipatuk ular,'' katanya.

Adnan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan keluarga Arni Syuhada, yang dikata telah dibiarkan selama hampir satu jam 45 minit sebelum mendapat perhatian doktor di Hospital Daerah Pekan.

Bapa tiri mangsa, Edi Reza Dahlan berkata, Allahyarham dimasukkan ke hospital pukul 7.15 malam Jumaat lalu dan doktor hanya tiba untuk memberi rawatan pada pukul 9 malam.

Arni, 23, yang merupakan Ketua Puteri UMNO Cawangan Kampung Lamir dan bakal melangsungkan perkahwinan selepas Aidilfitri ini, meninggal dunia pukul 10 malam.

Allahyarham dipatuk ular sepanjang kira-kira tiga meter sewaktu sedang menukar baju dua anak saudaranya di sebuah bilik di rumahnya kira-kira pukul 7 malam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah II negeri, Deputi Supritendan K. Manoharan memberitahu, ahli keluarga mangsa tidak perlu membuat laporan polis berhubung kecuaian pihak hospital seperti yang didakwa mereka.

Katanya, jika terbukti pihak hospital cuai, mereka dinasihatkan mengambil tindakan mahkamah.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2004&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_08.htm


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi