Tuesday, October 05, 2004

 
Mukadepan

BH : Perbuatan menghasut:
PM kecewa peserta forum laman web hina Islam



ABDULLAH bergambar bersama ahli Panel Penasihat Perpaduan Negara selepas merasmikan mesyuaratnya di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menyifatkan penyiaran pandangan yang menyamakan Islam Hadhari dan politik wang dengan najis dan air kencing, sebagai perbuatan menghasut.

“Itu satu perbuatan yang ‘seditious’ (menghasut) sebenarnya ....boleh diambil tindakan,” kata Perdana Menteri ketika diminta mengulas kenyataan seorang peserta forum di laman web Screenshots kendalian Jeff Ooi itu.

Dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan dan Mesyuarat Panel Penasihat Perpaduan Negara di Hotel Shangri-la Putrajaya di sini, petang semalam, beliau berharap orang ramai tidak mempercayai semua yang dibaca di internet.

Perdana Menteri yang kecewa dengan kenyataan tidak bertanggungjawab itu berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berkaitan untuk memikirkan bentuk tindakan terhadap mereka yang keterlaluan menghina agama atau kaum lain.

Beliau yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata, perbuatan menghina kaum atau agama lain termasuk di internet sebagai tindakan ‘orang gila’ yang tidak harus dipedulikan serta tidak menyumbang kepada usaha mewujudkan perpaduan nasional.

“Jangan layan semua itu, ia perbuatan orang gila. Saya harap tidak ada orang akan mengambil itu (pandangan terhadap Islam Hadhari) sebagai satu keterangan serius,” katanya.

Akhbar ini Sabtu lalu melaporkan mengenai kenyataan peserta itu disiarkan di Screenshots, antara laman ‘web blog’ popular di negara ini kerana membenarkan perbincangan secara bebas.

Pengendalinya, Jeff Ooi, dalam laman web itu kemudian berkata, dia sudah menyekat peserta yang menggunakan nama samaran Anwar itu daripada terus menggunakan kemudahan laman webnya untuk memberi ulasan, sehari sebelum Berita Harian melaporkannya.

Dalam kandungan terbaru di Screenshots semalam, Jeff Ooi mendedahkan penulis yang bernama Anwar itu menggunakan alamat e-mel tongsanchai@yahoo.com. Bagaimanapun, pada masa sama, Screenshots turut membiarkan seorang peserta forum menyatakan pandangan menghina, kali ini terhadap Umno dan kerajaan.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan mesyuarat berkenaan, Abdullah berkata, usaha membina perpaduan bukan semudah dijangka berikutan faktor perbezaan adat, bahasa, agama, kepercayaan, lokasi, kebudayaan dan kesenian.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat menyedari bahawa perbezaan yang wujud dihalusi dan difahami. “Kepelbagaian itulah yang menjadikan kekuatan utama kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata, walaupun tiada alat khusus dapat mengukur tahap perpaduan rakyat sesebuah negara secara tepat, apa yang penting ialah menanam nilai positif serta saling menghormati dan memahami di kalangan rakyat yang berbilang kaum, agama, kepercayaan dan budaya.

“Nilai dan sikap inilah yang begitu penting dalam usaha membina perpaduan negara. Di negara lain, kepelbagaian itu menjadi beban kerana ia tidak dapat diuruskan dengan baik sehingga menimbulkan masalah perkauman dan agama.

“Kerajaan sejak dulu melaksanakan pendekatan untuk semua dan rakyat menyambut baik pendekatan itu,” katanya

Abdullah berkata, ketika ini sudah wujud tahap keselesaan di kalangan penduduk sehingga dapat duduk pada satu meja tanpa berasa gugup.

“Keselesaan ini sangat perlu dalam mencapai perpaduan nasional. Usaha kini harus menumpukan kepada peringkat kanak-kanak berikutan golongan ini tidak mempunyai sifat prejudis,” katanya.

Sambil menyambut baik penubuhan Panel Penasihat Perpaduan Negara, beliau berkata, pelbagai cabaran yang dibawa proses globalisasi dan arus pemodenan boleh menjejaskan perpaduan masyarakat.

“Sekolah kebangsaan iaitu ejen utama memangkinkan proses integrasi di kalangan generasi muda sudah mula kehilangan popularitinya sebagai sekolah pilihan terutama di kalangan pelajar Cina.

“Kini hanya lebih kurang dua peratus pelajar Cina menuntut di sekolah kebangsaan. Di universiti, ramai siswa-siswi masih tidak begitu selesa bergaul dengan siswa dari keturunan lain.

“Jika kita tidak berwaspada dan mengambil beberapa (langkah) proaktif sekarang, perpaduan yang dibina dengan begitu susah lama-kelamaan mungkin susut dan kemudian lenyap begitu saja,” katanya.

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Tuesday/Mukadepan/20041004225152/Article/

Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi