Saturday, August 28, 2004

 

Kerajaan digesa pinda Akta Pemaju Perumahan 2002

Utusan Malaysia

28hb Ogos 2004


KUALA LUMPUR 27 Ogos - Persatuan-persatuan pengguna dan pengamal undang-undang menggesa kerajaan meminda Akta Pemaju Perumahan (Pindaan) 2002 supaya lebih tegas dalam `menghukum' pemaju-pemaju yang tidak menyiapkan sesuatu projek perumahan.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Maamor Osman berkata, pindaan harus melibatkan penjelasan lengkap tentang pemaju dan semua peraturan yang perlu mereka patuhi dalam menjalankan sesuatu projek.

Katanya, ia juga harus memasukkan peraturan dan penjelasan terperinci tentang tindakan undang-undang, proses mendapatkan tender projek dan semua kriteria yang harus ada pada setiap pemaju.

``Perlu ada garis panduan yang jelas dan lengkap supaya pembeli tidak rugi dalam akta tersebut termasuk syarat seperti wang deposit dan insurans tertentu kepada setiap pemaju.

``Setidak-tidaknya nasib pembeli akan terbela jika sesebuah projek terbengkalai dan insurans itu mungkin dapat digunakan oleh pemaju untuk meneruskan projek mereka,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas isu projek perumahan terbengkalai yang panas ketika ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Shaani Abdullah berkata, kerajaan perlu meminda akta tersebut dan menjalankan pelaksanaan secara menyeluruh.

``Masalah sekarang, akta itu tidak dikuatkuasakan dengan sepenuhnya hingga hak-hak pembeli terabai dan seringkali ia menyebelahi pihak pemaju sedangkan pihak yang dirugikan ialah pembeli.

``Jadi paling baik ialah memperincikan syarat, bentuk hukuman serta semua peraturan yang perlu dipatuhi oleh setiap pemaju bagi memastikan hak-hak pembeli terjamin di bawah akta itu,'' katanya.


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi