Sunday, August 29, 2004

 

1.3 juta pelanggan `diikat' terma baru Astro

UTUSAN MALAYSIA Muka Hadapan

Oleh: HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Kira-kira 1.3 juta pelanggan Astro akan `diikat' melanggani stesen itu secara wajib selama 12 bulan atau menghadapi denda RM500 sebaik sahaja mereka mengaktifkan kad pintar baru yang akan diedarkan mulai bulan depan.

Terma ini terkandung di bawah fasal empat perjanjian itu yang dikenali sebagai Perjanjian Langganan Astro - Pelanggan Kediaman.

Keseluruhan perjanjian itu yang boleh dilihat di laman web Astro - www.astro.com.my bermula dengan tajuk kecil di atasnya yang menyebut `Kad Pintar Astro yang baru didatangkan bersama Perjanjian Langganan Astro'.

Menerusi terma baru itu, para pelanggan tidak ada pilihan lain kerana selepas tarikh 30 September ini, kad pintar yang lama sudah tidak boleh digunakan lagi.

Mereka juga secara automatik akan `terikat' dengan Astro selama 12 bulan sebaik sahaja mengaktifkan kad pintar yang baru.

Ini kerana, kad pintar yang baru itu turut didatangkan bersekali dengan perjanjian baru yang mana para pengguna dikira `bersetuju' untuk meneruskan langganan secara berterusan bagi tempoh minimum selama 12 bulan sebaik sahaja kad pintar baru diaktifkan.

Sekiranya pelanggan menghentikan langganan sebelum genap tempoh 12 bulan mereka akan dikenakan denda yang dinamakan `yuran perjanjian' sebanyak RM500.

Astro telah menghantar notis kepada para pelangannya mengenai pengenalan kad pintar yang baru yang dikatakan mengandungi ciri-ciri keselamatan tertinggi melalui pos dan di dalam laman web mereka.

Kesemua pelanggan berdaftarnya akan menerima kad tersebut dalam tempoh dua minggu pertama pada bulan depan.

Bagaimanapun pemberitahuan mengenai kewujudan perjanjian yang baru serta bila ia berkuat kuasa tidak dinyatakan dengan jelas kepada pelanggan hingga menyebabkan ramai yang tidak menyedari mengenainya.

Bukan itu sahaja kewujudan fasal mengenai tempoh langganan minimum juga tidak dimaklumkan dengan cara yang boleh jelas dilihat dalam perjanjian yang mempunyai 11 fasal itu.

Cuma perkataan `yuran perjanjian sebanyak RM500 akan dikenakan ke atas pelanggan' dihitamkan tanpa dibesarkan atau ditulis dalam bentuk yang boleh menarik perhatian pembaca.

Terdahulu, Utusan Malaysia menerima banyak aduan daripada para pelanggan Astro yang menyatakan kekeliruan mereka berhubung isu ini.

Keseluruhan fasal empat perjanjian itu berbunyi:

``Tempoh Langganan Minimum. Anda bersetuju untuk meneruskan dan memastikan akaun anda aktif untuk tempoh minimum secara berterusan selama 12 bulan dari tarikh perkhidmatan diaktifkan. Selain itu, anda juga bersetuju secara serta merta atau sebaliknya menyebabkan perkhidmatan tidak lagi aktif pada bila-bila masa dalam tempoh 12 bulan atas apa sahaja sebab sebagainya termasuk tanpa had, secara gagal atau enggan dan atau ingkar untuk membayar yuran langganan pada bila tepat masanya, yuran perjanjian sebanyak RM500 akan dikenakan ke atas anda. Jika anda melanggan perkhidmatan melalui kempen khas atau promosi, tempoh langganan minimum seperti yang tertera dalam terma khas dan syarat kempen dan tawaran khas (``Terma dan Syarat Kempen'') akan terpakai.''

Astro adalah stesen televisyen satelit pertama negara yang semakin mendapat sambutan pengguna. Salah satu lagi stesen yang dijangka memberi saingan kepadanya, MiTV dijangka beroperasi Disember ini.

MiTV akan menawarkan sebanyak 60 saluran serta harga langganan yang dikatakan jauh lebih rendah dari apa yang dikenakan oleh Astro sekarang.

Perkhidmatannya dijangka bermula di Lembah Klang menjelang bulan Disember 2004 sebelum dilanjutkan meliputi kawasan utara dalam tempoh enam bulan berikutnya.

Sementara itu ketika mengulas perkara ini, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah menggesa Astro supaya menarik balik perjanjian tersebut kerana ia jelas satu bentuk monopoli.

``Mengapa perlu memperkenalkan perjanjian yang baru bersekali dengan kad pintar sedangkan ia tidak ada kena mengena kerana kad pintar itu adalah soal teknikal dan oleh itu mengapa perjanjian yang lama tidak boleh digunakan?

``Saya juga tidak faham apakah makna yuran perjanjian sebanyak RM500 dikenakan. Ia kos untuk apa? Bukannya ada yuran guaman pun,'' katanya.

Ketua Unit Pengaduan Awam Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Subahan Kamal pula menggesa Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi campur tangan dalam hal ini bagi mengelakkan ada unsur-unsur yang tidak adil dalam perjanjian itu.

``Agak malang jika kementerian yang berkenaan boleh membenarkan perkara ini yang jelas satu perjanjian tidak adil kepada para pengguna kerana dipaksa untuk terikat dengan Astro.

``Ini menyekat hak sebagai pengguna dan juga satu etika perniagaan yang tidak baik untuk industri penyiaran negara kerana ia bagaikan satu bentuk monopoli.

``Selain itu mungkin sudah tiba masanya negara kita mempunyai akta antimonopoli seperti yang terdapat di negara-negara maju bagi membolehkan suasana perniagaan yang baik kepada semua pihak,'' jelasnya.


Comments: Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi