Monday, April 17, 2006

 

Kaji semula pembelian tenaga IPP - FOMCA

Utusan Malaysia - ekonomi

KUALA LUMPUR 16 April - Kerajaan digesa mengkaji semula kontrak yang diberikan kepada lima syarikat penjana tenaga bebas (IPP) yang menjadi salah satu punca kedudukan kewangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) meruncing.

Ini kerana perjanjian konsesi yang ditandatangani dengan syarikat terbabit mewajibkan TNB membayar lebih RM4 bilion setahun untuk tenaga yang dibe-kalkan oleh sembilan IPP yang dikendalikan oleh kelima-lima syarikat tersebut.

Pemegang-pemegang konsesi itu ialah YTL Power Generation, Malakoff Berhad, Powertech, Sime Darby dan Genting Sanyen.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah ketika menyuarakan gesaan itu berkata terma yang terkandung di dalam kontrak tersebut hanya menguntungkan sebelah pihak.

Menurutnya, wujud situasi `berat sebelah' yang menguntungkan syarikat pemegang konsesi itu kerana pembayaran perlu dibuat tanpa mengira sama ada tenaga digunakan secara penuh atau sebaliknya.

``Keadaan ini menjadikan ia satu beban kepada TNB,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Persatuan tersebut menyuarakan kebimbangan terhadap situasi kewangan paling meruncing dalam sejarah penubuhan syarikat strategik negara itu yang mengalami kerugian ekonomi RM1 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 28 Februari 2006.

Syarikat itu kini bergantung kepada pinjaman luar untuk membiayai perbelanjaan operasinya dan ia akan bertambah buruk menjelang akhir tahun ini.

TNB semakin menerima tekanan berikutan kenaikan harga diesel, gas dan arang batu iaitu bahan bakar bagi menggerakkan jana kuasanya selain ketidakpastian berhubung kenaikan tarif elektrik.

Muhammad Sha'ani turut berharap kajian semula kontrak pembelian tenaga daripada IPP yang disifatkan mahal itu dibuat sebelum kerajaan membuat keputusan menaikkan tarif elektrik.

Sementara itu, Setiausaha 1 Persatuan Pengguna-Pengguna Prihatin Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohamad Asri Shafii turut bersetuju kontrak tersebut dikaji semula.

Katanya, urus niaga itu bukan sahaja tidak relevan, malah satu paksaan kepada TNB.

``Kerugian yang ditanggung oleh TNB secara tidak langsung terpaksa dikongsi bersama oleh golongan pengguna sebagai pengguna terakhir,'' ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Mohamad Asri menambah, kerajaan juga harus mengkaji semula penswastaan perkhidmatan pembekalan tenaga yang dilaksanakan sejak 15 tahun lalu.

``Struktur prestasi serta operasi TNB harus dipantau supaya ia tidak tersasar dari matlamat utama penubuhannya,'' tegasnya.

Namun, kata beliau, walaupun kedudukan kewangan syarikat pembekal tenaga itu semakin meruncing, pujian harus diberikan kepada TNB kerana telus dalam mendedahkan kemelut kewangannya.


This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Bloggers United

Justice will come when it is deserved by our being and feeling strong. - Gandhi