Thursday, February 02, 2006
JE: Tiada ketelusan -- Kementerian diminta tidak berahsia berkaitan kepentingan ramai
Oleh Norizan Abdul Muhid, Azman Che Man dan Nizam Yatim
KUALA LUMPUR 1 Feb. - Japanese Encephalitis (JE) pernah menyerang Negeri Sembilan pada 1998 hingga Mac 2000 membunuh 84 orang, namun kes di Kelantan Khamis lalu yang setakat ini mengorbankan dua orang seolah-olah dianggap `tidak serius'.
Utusan Malaysia yang cuba mendapatkan maklumat dan pengesahan mengenai kejadian itu di Kelantan berdepan dengan pelbagai kesukaran.
``Saya tidak tahu, tanya Kuala Lumpur,'' kata seorang pegawai kanan kesihatan negeri yang enggan bercakap.
Persoalannya di sini apakah sudah ada `perintah menghalang' (gag order) untuk pihak-pihak ini bercakap kepada media?
Semasa kes JE ini mula dikesan Khamis lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek hanya menasihati rakyat jangan bimbang - ia tidak berbahaya. Seolah-olah beliau menganggap ia hanyalah satu lagi kes terpencil - yang tidak perlu diheboh-hebohkan.
Rakyat, persatuan-persatuan pengguna, dan badan hak asasi manusia hari ini mempersoalkan di manakah hak mereka untuk mengetahui mengenai wabak ini. (Untuk rekod: Sebelum ini Kementerian Kerja Raya turut dikritik kerana tidak telus dalam isu keretakan Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Mereka berpendapat, sikap Kementerian Kesihatan yang suka berahsia dan terlalu menyimpan maklumat dalam menangani sesuatu isu membabitkan kesihatan awam seperti itu dikhuatiri akan menyebabkan masalah tersebut akan bertambah besar dan semakin sukar dikawal.
``Manakah ketelusan yang kita harapkan,'' soal Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Prof. Datuk Dr. Mohd. Hamdan Adnan.
Katanya, Kementerian Kesihatan harus bersikap lebih telus dalam menyalurkan maklumat mengenai kes itu kerana ia berkaitan kepentingan dan nyawa orang ramai.
Beliau berkata, maklumat penting berkaitan kes itu seperti apa yang telah dibuat oleh kementerian atau apa yang mesti dilakukan oleh orang ramai perlu bagi membolehkan masyarakat mengambil langkah berjaga-jaga.
Tambahnya, perkara itu turut menyentuh isu hak asasi manusia kerana masyarakat mempunyai hak untuk mengetahui perkara sebenar terutama apabila melibatkan keselamatan nyawa mereka.
``Kita tahu kerajaan mampu selesaikan masalah ini tetapi jika Kementerian Kesihatan hanya mengeluarkan arahan supaya jangan panik tanpa memberikan maklumat yang jelas, orang ramai akan menjadi lebih panik,'' kata Mohd. Hamdan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sikap berdiam diri Kementerian Kesihatan dalam menangani kes penyakit JE di Kelantan yang sehingga kini telah meragut dua nyawa.
Semalam, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan, Hasnira Akmal Hussin, 13, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II kerana disyaki menghidap penyakit JE.
Ia merupakan kematian kedua selepas Siti Mardiana Mohd. Ramli, 13, dari Kampung Air Kerala, Gual Ipoh, Tanah Merah yang meninggal dunia Khamis lalu juga dipercayai kerana JE.
Sehingga hari ini, Kementerian Kesihatan belum dapat mengesahkan punca sebenar kematian dua kanak-kanak itu.
Soi Lek sebelum ini dilaporkan meminta orang ramai supaya tidak panik dan bimbang dengan perkembangan penyakit JE di Kelantan itu.
Projek Koordinator Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mohd. Noordin pula berkata, Kementerian Kesihatan sepatutnya bersikap lebih terbuka apabila berdepan dengan masalah membabitkan isu kesihatan dan kepentingan awam.
Katanya, sikap Kementerian Kesihatan yang terlalu berahsia juga dikhuatiri akan menimbulkan masalah yang lebih besar pada masa depan seperti kewujudan epidemik penyakit yang sukar dikawal.
``Jika tidak dibendung daripada awal kerana beranggapan ia kes terpencil, saya bimbang bila sampai suatu ketika, kita baru sedar bahawa ia sudah terlewat,'' katanya.
Berwaspada
Setiausaha Agung, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan tidak sepatutnya memperkecilkan kes seperti itu kerana ia membabitkan kepentingan umum.
Tambahnya, Kementerian Kesihatan seharusnya mengamalkan pendekatan berwaspada daripada mengambil sikap `menidakkan' keadaan sebenar.
Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam dan Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO, Datuk Subahan Kamal menggesa menteri berkenaan mengenal pasti segera punca dua kematian berkaitan sebelum ia mendatangkan perasaan lebih panik di kalangan orang ramai.
``Saya hairan mengapa ada menteri yang masih guna kenyataan `tunggu dan lihat', kenyataan seperti itu sudah tidak boleh diguna pakai lagi. Orang ramai memerlukan penjelasan segera,'' katanya.
Bagi Presiden Kebangsaan Kongres India Muslim Malaysia, Amir Amsaa Alla Pitchay, sikap `tunggu dan lihat' kementerian berkenaan amat dikesali dan dikhuatiri masalah sedia ada berlarutan menjadi lebih serius.
``Kes ini sudah melibatkan dua kematian, kementerian berkenaan mahu tunggu lebih banyak kematian lagi baru ingin kenal pasti punca kes ini?'' katanya.
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Khairul Arifin Mohd. Munir pula berkata, kementerian terbabit tidak sepatutnya mengambil masa untuk mengenal pasti punca penyakit tersebut.
``Kita faham tujuan kementerian tidak mahu membangkitkan rasa panik di kalangan orang ramai namun biarlah orang ramai melihat kementerian membuat sesuatu untuk mengatasi masalah ini,'' katanya.
Sementara itu, di KOTA BHARU, Persatuan Pengguna Kelantan mendesak Kementerian Kesihatan supaya tidak menyembunyikan fakta sebenar mengenai serangan penyakit JE di negeri ini bagi membolehkan orang ramai membuat persediaan.
Presidennya, Yusoff Ahmad berkata, pihaknya juga kesal dengan sikap kementerian yang melambat-lambatkan pengumuman hasil ujian terhadap sampel darah empat pesakit yang disyaki menghidap JE.